KEPUTUSAN
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Mengadakan Pameran Spesimen Anatomi Manusia. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
- Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam menetapkan bahawa jasad seorang yang telah meninggal dunia mempunyai kemuliaan, nilai dan hak kemanusiaan yang wajib dihormati dan dipelihara sepertimana orang yang masih hidup. Pembedahan dan pengawetan mayat yang bertujuan untuk pameran dan diperagakan dalam pelbagai bentuk dan aksi adalah bertentangan dengan syarak.
- Oleh yang demikian, selaras dengan ketetapan hukum syarak, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum mengadakan pameran spesimen anatomi manusia adalah dilarang oleh Islam.
- Walaubagaimanapun, bagi tujuan pendidikan kepada orang awam berkaitan anatomi manusia, ia boleh dilakukan melalui bahan-bahan pameran yang lain seperti melalui gambar-gambar dan bahan-bahan tiruan tanpa menggunakan mayat sebenar.