KEPUTUSAN

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-8 yang bersidang pada 24-25 September 1984 telah membincangkan isu Garis Panduan Bagi Pengurusan Jenazah Orang-Orang Islam Luar Negeri. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

  • Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika sekirannya keadaan benar-benar memerlukan (darurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang benar-benar memerlukan post mortem atau simati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup. 
  • Pengkebumian mayat di dalam peti yang tertutup boleh dilakukan dengan syarat muka simati dibuka dan tubuhnya dihadapkan ke arah qiblat. 
  • Pemindahan mayat dari satu negeri ke satu negeri yang lain adalah harus sekiranya keadaan memerlukan (darurat) tetapi mestilah dipastikan simati dipindahkan dalam keadaan yang baik dan sempurna.

Keterangan/Hujah:

Pembedahan mayat dalam Islam adalah harus sekiranya dharurat seperti dengan sebab-sebab yang berikut:

  • Perempuan yang mati mengandung sedangkan ada anak yang masih dalam kandungannya, maka boleh dibedah untuk menyelamatkan anak itu. 
  • Seseorang yang tertelan harta yang bernilai tinggi (mahal harganya) kemudian ia mati, maka boleh dibedah untuk dikeluarkan harta itu. 
  • Orang yang mati akibat di pukul atau lain-lain perbuatan jenayah, maka mayatnya boleh dibedah untuk dipastikan kematiannya dengan syarat tujuan pembedahan itu adalah benar-benar untuk menentukan sebab kematian dan pembedahan itu diizinkan oleh warisnya tetapi tidaklah secara mutlak kerana hakim pemerintah juga bertanggungjawab sebagai wali. 
  • Pada masa ini terdapat kes-kes di mana pihak universiti tempatan menggunakan mayat umat Islam untuk tujuan latihan amali pemindahan bagi pelajar-pelajar Fakulti Perubatan. Perkara seumpama ini sebaik-baiknya hendaklah dielakkan di masa-masa akan datang. 
  • Pengkebumian mayat dalam peti yang tertutup adalah tidak bertentangan dengan ajaran Islam, cuma yang perlu dipastikan ia dibuka untuk memastikan mayat mengadap qiblat. 
  • Pemindahan mayat dari satu tempat ke tempat yang lain atau dari satu negara ke negara lain dari pandangan Mazhab - Mazhab dalam Islam adalah berbeza-beza. Walaubagaimanapun pertimbangan darurat diambil kira dalam penentuan hukum.

Pautan Pantas