Cara Memasukkan Jenazah Ke Dalam Kubur
1. Apabila jenazah telah sampai ke kubur, hendaklah diletakkan kepalanya dahulu di sisi kaki kubur. Sunat juga mengeluarkan jenazah dari tempat usungan atau kerandanya dan memasukkannya ke dalam kubur dengan mendahulukan kepalanya. Dari Ibnu Abbas, beliau berkata:
”Sesungguhnya Nabi SAW dikeluarkan dari sebelah kepalanya.” (Riwayat Syafii)
2. Adalah sunat juga pekerjaan memasukkan jenazah yang hendak ditanam itu dilakukan oleh orang lelaki dengan bilangan yang ganjil seperti tiga orang atau lebih sekalipun yang meninggal itu seorang perempuan. Walaupun begitu, bagi jenazah perempuan ianya lebih utama dilakukan oleh suaminya, kemudian muhramya.
3. Sunat juga menutup kubur dengan kain ketika menanam jenazah, samaada jenazah itu lelaki atau perempuan.
4. Sunatsemasa memasukkan jenazah ke dalam kubur membaca:
Ertinya: Dengan nama ALLAH dan atas agama Rasulullah.”
5. Setelah diletakkan jenazah ke atas tanah dalam lahadnya atau dalam kerandanya, maka disunatkan membuka kain kafan agar pipinya diketemukan dengan tanah. Kemudian bukakan tali pengikat kafan iaitu dengan membuka ikatannya sahaja. Adalah makruh meletakkan jenazah dalam kubur dengan beralaskan bantal atau hamparan seperti tikar.
6. Sunat membaringkan jenazah itu di atas rusuk yang kanan, dan adalah wajib mengadapkannya ke kiblat. Untuk mengelakkan badan jenazah agar jangan bergerak dari tempat letakknya maka bolehlah disendalkan dengan ketul-ketul tanah. Ini kerana mengadap ke kiblat adalah wajib.
Dari Ubaid bin Umair, beliau berkata:
” Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang dosa – dosa besar. Baginda bersabda: ” Dosa-dosa besar itu ada sembilan; menyekutukan ALLAH, sihir, membunuh diri, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan, menuduh berzina kepada perempuan yang telah bersuami, menderhakai ibubapa dan menghalalkan Baitul haram (kiblat) kamu ketika hidup dan mati”. (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
Cara Menimbus Tanah
1. Setelah ditutup jenazah dengan papan atau penutup kerandanya maka sunat salah seorang dari mereka memulakan dengan menggenggam tanah sebanyak tiga kepal, kemudian melemparkan ke dalam kubur pada bahagian kepala jenazah dengan membaca.
Kepalan pertama :
Ertinya: “ Daripadanya telah Kami jadikan kamu.”
Kepalan kedua :
Ertinya: “ Dan ke dalamnya Kami kembalikan kamu.”
Kepalan ketiga:
Ertinya: “ Dan daripadanya Kami keluarkan kamu sekali lagi.”
Dari Amar bin Rabiah beliau berkata:
“ Bahawasanya Nabi SAW telah sembahyang atas jenazah Usman bin Maz’un dan baginda datang ke kubur, maka ia menuangkan tanah tiga kali di atas kuburnya.”
2. Kemudian teruslah menimbuskan tanah dengan perlahan dan cermat di mana pada permulaannya hendaklah ditahankan tanah timbusan tersebut dengan tikar atau daun-daun kayu sehingga meratai tanah atasnya. Sunat ditinggikan permukaan kubur lebih kurang ¾ kaki (sekadar sejengkal) supaya mudah dikenali ketika hendak diziarahi.
Hendaklah diratakan tanah di atas kubur seumpama papan kerana kubur Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar Al-Khattab kesemuanya ditinggikan sekadar sejengkal dan diratakan diatasnya. Dari Abu Hayyaj, Dari Ali bin Abi Talib, katanya: “ Aku utus engkau sebagaimana Nabi SAW mengutus aku. Jangan engkau biarkan patung-patung itu melainkan engkau hapuskan, dan jangan engkau biarkan kubur itu dilonjongkan melainkan engkau ratakan.” (Riwayat Muslim)
3. Kemudian disunatkan meletakkan batu nisan atau papan pada bahagian kepala mayat. Berdasarkan hadis riwayat Ibnu Majah dan Anas:
“Bahawasanya Nabi SAW menandai kubur Usman bin Maz’un dengan batu.”
4. Makruh hukumnya menulis nama atau lain-lainnya pada batu nisan, tetapi jika ditulis kerana untuk mudah dikenali ketika menziarahi maka harus hukumnya kerana Rasulullah SAW pernah melarang membina sesuatu dan menulis di atas kubur. Dari Jarir, katanya: “ Rasulullah SAW telah melarang menembok kubur, membuat tulisan padanya, membuat bangunan di atasnya.”
( Riwayat Ahmad, Muslim, Nasai dan Abu Daud.)
Menembok kubur bermaksud membuat bancuhan dengan simen. Adapun hikmah larangan menembok kubur ialah kerana kubur itu hanyalah sementara, bukan tempat persemadian selama-lamanya. Perbuatan menembok kubur itu termasuklah perhiasan dunia yang sememangnya tidak perlu bagi orang yang sudah mati.
Sebagaimana para ulama menganggap makruh menembok kubur, mereka juga berpendapat makruh hukumnya membangunkan dengan batu-bata atau kayu atau dimasukkan ke dalam peti. Namun begitu ia dikecualikan sekiranya tanah di tempat itu basah atau tanah di kelilingnya jenis berlumpur. Pada ketika itu tidak mengapa dibangunkan batu-bata di sekeliling kuburan tersebut.
Dalam hal ini tidak mengapa sekiranya ditambak tanah keliling kubur dengan tanah liat kerana Rasulullah SAW pernah melakukannya. Dari Jaafar bin Muhammad yang diterima dari ayahnya, ” Bahawa Nabi SAW meninggikan kubur sejengkal dari permukaan tanah, dan memulasnya dengan tanah liat yang diambilnya dari tanah kosong, lalu diletak di atasnya batu-batu kerikil.”
5. Setelah itu sunat dijiruskan kubur dengan air yang dingin dan suci bermula dari bahagian kepala mayat hingga ke kakinya. Dari Jabir bin Abdillah, katanya:” Disiramkan ke kubur Nabi SAW air dan orang yang menyiramkan air di atas kubur itu ialah Bilal bin Rabah. Dimulai dari kepala sebelah kanan hingga kepada kedua kakinya( Riwayat Baihaqi)
Perkara Yang Makruh Ketika
Mengebumikan Jenazah
1. Adalah makruh hukumnya air yang hendak dijiruskan di atas kuburan itu tadi dimasukkan bau-bauan seperti air mawar dan sebagainya.
2. Begitu juga tidak ada dalam syariat yang menyuruh meletakkan pepohon kayu atau bunga-bungaan di atas kubur. Ini berdasarkan hadis dari Ibnu Abbas, katanya: ”Bahawa Nabi SAW lewat pada dua buah kubur, maka sabdanya: ” Kedua mereka sedang diseksa, padahal mereka itu diseksa bukanlah mereka melakukan dosa besar. Adapun orang ini, sebabnya ialah kerana ia biasa tidak bersuci habis kencing (istibra’) sedang orang ini suka mengadu domba.” Kemudian Nabi meminta sebuah pelepah pucuk kurma lalu dibelahnya dua, kemudian yang sebelah ditanamnya pada sebuah kubur dan yang sebelah lagi pada kubur yang lain. Sabdanya: Moga-moga kedua mereka diberi keringanan, selama pelepah ini belum kering.” (Riwayat Bukhari)
Hadis di atas tidaklah menyuruh kita meletakkan pelepah kurma di kubur, kerana apa yang berlaku hanya mengambil berkat atas doa Nabi SAW agar kedua mayat di dalam kubur itu diringankan seksaan mereka. Baginda juga berkata bahawa membatasi keringanan ke atas mereka selama mana pelepah kurma itu masih basah. Begitulah menurut Khatabi.
Bahkan inilah yang menjadi amalan para Sahabat Nabi kerana tidak ada seorang pun dari mereka meletakkan pelepah kurma atau menaburkan bunga-bungaan di kubur. Ibnu Umar juga pernah menyuruh seseorang yang meletakkan tanda di maqam Abdurrahman dan membongkarnya kembali.
3. Begitu juga makruh hukumnya menanam dua mayat di dalam satu kubur. Contohnya kedua-duanya lelaki, atau kedua-duanya perempuan ataupun antara lelaki dan perempuan yang muhram, ataupun suami isteri. Bahkan adalah haram jika ditanam dua mayat di dalam satu kubur sekiranya kedua mayat itu seorang lelaki dan seorang perempuan yang bukan suami isteri atau bukan muhram. Bagaimanapun ianya dikecualikan sekiranya ada sebab, misalnya apabila tanah perkuburan tidak muat sedangkan mayat yang hendak ditanam terlalu ramai. Pada ketika itu haruslah ditanam beberapa mayat di dalam sebuah kubur.
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Tarmizi menyatakan sahnya:”Orang-orang Ansar telah datang mendapatkan Nabi SAW sewaktu perang Uhud. Kata mereka, ” Ya Rasulullah, kita telah letih dan banyak yang luka-luka. Bagaimana harus kami lakukan?” Ujar baginda, ”Galilah kubur-kubur yang dalam dan lebar, dan tanam dua atau tiga mayat ke dalam satu liang.” Tanya mereka pula, ” Siapakah yang harus kami lakukan?” Ujar baginda, ” Yang lebih banyak hafaz Al-Quran.”
4. Jumhur ulama juga sepakat mengatakan makruh meletakkan kain, selimut atau lain-lain sebagai pengalas mayat di dalam kubur. Bagaimanapun Ibnu Hazmin menyatakan tidak salah meletakkan hamparan di dalam kubur . Ini berdasarkan jenazah Rasulullah SAW yang diletakkan permaidani merah. Dari Ibnu Abbas, katanya: ” Pada maqam Rasulullah SAW dihamparkan permaidani merah.” (Riwayat Muslim)